Kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad S.A.W dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam.
Mereka sama-sama terbabit dalam
perniagaan sehingga menjadi sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia,
sama haluan dalam perjuangan sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.
Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan
Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia
sewajarnya dijadikan panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan
Abu Bakar di mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud:
"Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya,
nescaya akan berat lagi keimanan Abu Bakar." [Hadis riwayat al-Baihaqi]
Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi
hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad
Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya:
"Semoga Allah merahmatimu!
Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain
mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau
telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan
hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa
pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa
yang dibuat olehmu."
Allah S.W.T memilih Abu Bakar
sebagai teman karib Rasulullah S.A.W dalam mendokong usaha dakwah amat
bertepatan sekali. Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah
kebaikan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Teman yang baik
dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup
api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau
kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun
peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang
busuk." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah S.A.W juga
telah menggariskan beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang
baik, antaranya : Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman.
Sabda Baginda bermaksud: "Jangan
kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan
kecuali kepada orang yang bertakwa." [Hadis riwayat Abu Daud dan
at-Tirmizi]
1) Hindari daripada
berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa
Rasulullah S.A.W bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan
perangainya), kamu akan dikenali sepertinya."
Sabda Baginda lagi : "Seseorang
itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada
kamu, siapakah yang didampinginya."
[Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]
2)
Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubaidah Ibn As-Samit berkata: "Rasulullah
S.A.W mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan
senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali
ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja
kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina,
semata-mata kerana Allah." [Hadis riwayat Muslim]
3) Membantu
kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah
S.A.W bersabda: "Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah
bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada
menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya
daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan
daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban)
saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." [Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Begitulah antara saranan-saranan
Rasulullah S.A.W kepada kita untuk memilih rakan yang
benar-benar ikhlas dan baik untuk dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering
lupa dan justeru itu punyai rakan yang baik serta sering mengingatkan kita
kepada kebaikan dan mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah
merupaakan satu bonus untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang
benar-benar bertakwa.